SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menunggu hasil siasatan polis sebelum mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang memalsukan dokumen dengan menggunakan logo jabatan itu.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya tampil membuat laporan polis mengenai perkara itu petang Jumaat lalu dan MAIS tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penipuan pesanan pembelian dan invois tersebut.
“Tindakan lanjut akan diambil selepas mengenal pasti pihak yang dianggap menyamar sebagai MAIS itu,” katanya ketika ditemui pada program Hi-Tea Bersama Media dan pelancaran Kalkulator Fidyah di sini,hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sebuah syarikat swasta menerima pesanan pembelian menggunakan surat rasmi berlogo MAIS bagi mendapatkan dana projek pembekalan bantuan bakul makanan, namun dokumen itu didapati palsu.
Abdul Aziz menegaskan pihaknya ada menerima aduan daripada sebuah syarikat yang hadir ke pejabat MAIS sebelum ini dan pengadu berkenaan merupakan seorang usahawan wanita yang memaklumkan dirinya telah ditipu.
“Prang ramai dinasihatkan berwaspada dengan sindiket penipuan yang semakin canggih dengan pelbagai taktik. Sebarang pengesahan lanjut mengenai MAIS boleh diperoleh menerusi talian 03-55153400 atau e-mel ke [email protected],” katanya. – KOSMO! ONLINE