fbpx

Mahkamah: Wan Saifulruddin didakwa rasuah RM6.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Saifulruddin ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOF / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan rasuah RM6.9 juta membabitkan projek Program Jana Wibawa yang bernilai RM232 juta tahun lalu.

Bagaimanapun Wan Saifulruddin, 48, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta bagi dirinya suatu suapan daripada seorang individu sebagai dorongan membantu sebuah syarikat mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan ke Lebuh Raya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan yang berjumlah RM232 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini sekitar April 2022.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Wan Saifulruddin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor didakwa menerima suatu suapan iaitu wang tunai RM6.9 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya daripada Maybank Islamic milik sebuah syarikat lain.

Wang rasuah yang diterima itu adalah sebagai upah bagi dirinya membantu sebuah syarikat mendapatkan Surat Setuju Terima untuk projek sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Bukit Tunku di sini antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Wan Saifulruddin kemudian dibenar diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI