KOTA KINABALU – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah, mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Semua ADUN berkenaan adalah Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk Hamid Awang (Balung), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk James Ratib (Sugut).
Sejurus pengumuman itu, lima ADUN terbabit turut mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengumuman dibuat pada sidang media khas yang dipengerusikan oleh Dr. Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sebentar tadi.
Dalam itu, turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat adalah tiga bekas ADUN Parti Warisan (Warisan) yang sudah mengumumkan keluar parti pada awal bulan ini.
Ketiga-tiga ADUN terbabit ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Norazlinah Arif (Kunak) dan Chong Chong Bin (Tanjung Kapor).
“Kami lapan orang ADUN dan pemimpin pada hari ini mengisytiharkan membuat beberapa keputusan termasuklah memberi sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan yang beliau terajui.
“Selain itu, kami juga memberi sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah,” katanya. – KOSMO! ONLINE