MELAKA – Seorang lelaki dipenjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sekotak panadol di sebuah premis, minggu lalu.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Zulhilmi Sholehat, 29, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah melakukan kesalahan mencuri satu kotak panadol Activefast 100 biji.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 3.51 petang di dalam Watson Personal Care Stores Sdn. Bhd. di Taman Duyung Bistari dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Februari lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dengan alasan baru sahaja hilang pekerjaan sebagai tukang cuci kereta dan kesempitan wang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda tersebut dan dihantar ke penjara Sungai Udang.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut dihadapkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah akta sama dibaca bersama Seksyen 38B akta sama kerana memberikan diri sendiri dadah berbahaya jenis methamphetamine.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan tarikh 4 April depan bagi serahan laporan patalogi dan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE