IPOH – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan mendera anak teman wanitanya yang berusia enam tahun.
Tertuduh, Muhammad Aiman Razali, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki yang tidak bekerja itu didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Perbuatan tersebut dilakukan bekas pemandu lori itu di sebuah rumah di Cherry Apartment di sini masing-masing pada pukul 1 pagi, 25 November 2022 dan 14 Februari 2023.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K. Darinee manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Perbuatan lelaki itu terbongkar ekoran laporan polis dibuat datuk kanak-kanak itu pada Selasa lalu, selepas diberitahu oleh ibu mangsa bahawa cucunya didera suspek.
Difahamkan, suspek yang tinggal serumah dengan ibu mangsa kerap memukul kanak-kanak terbabit menggunakan tangan. namun kejadian itu tidak pernah dilaporkan kepada polis.
Suspek telah ditangkap dan ditahan reman selama tujuh hari bermula 15 Februari lalu hingga hari ini. – KOSMO! ONLINE