SEREMBAN – Kerjaya sebagai tukang gunting rambut yang sebelum ini terkesan ekoran pandemik Covid-19 kini kembali meriah, sekali gus memberi pulangan lumayan kepada pengusaha premis.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! di daerah ini, rata-rata pengusaha gunting rambut boleh menarik nafas lega apabila mampu meraih pendapatan sehingga tiga kali ganda terutama ketika pembukaan sesi persekolahan.
Pengusaha kedai Dominic Barber Shop, J. Vijan, 38, berkata, dia sendiri tidak menang tangan memotong rambut pelanggan terutama pelajar sekolah yang akan menyerbu premisnya pada setiap penghujung cuti persekolahan.
“Kalau hari biasa pelanggan sekitar 20 orang sehari, tetapi ketika sekolah mahu dibuka, pelanggan memang ramai terutama pelajar sekolah yang mahu memotong rambut sehinggakan mereka perlu beratur menunggu giliran.
“Sekarang ini cuti persekolahan baru bermula dan saya jangkakan mampu menarik kehadiran seramai 50 ke 60 pelanggan sehari iaitu seminggu sebelum sesi persekolahan dibuka.
“Kalau ikutkan, kami boleh meraih pendapatan sekitar RM500 hingga RM600 sehari,” katanya ketika ditemui di kedai gunting rambut miliknya di Sikamat di sini baru-baru ini.
Vijan yang berpengalaman selama 12 tahun dalam perkhidmatan menggunting rambut berkata, pelanggan memang suka membuat persediaan atau merapikan rambut di saat akhir terutama ketika sekolah dibuka semula serta musim perayaan.
“Untuk pelajar sekolah rendah, kami mengenakan caj potong rambut RM14, manakala bagi remaja dan dewasa RM17.
“Harga ditawarkan sedikit tinggi berbanding tahun sebelum ini tetapi pelanggan faham dan tidak merungut kerana berpuas hati dengan perkhidmatan potongan rambut yang kami sediakan,” katanya.
Vijan atau dikenali sebagai Jack oleh pelanggannya memberitahu, operasi kedai gunting rambut kini semakin baik dan mampu memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding ketika pandemik Covid -19 terjejas teruk.