fbpx

Kamya Fest rugi, pengasas desak padam kenyataan fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAKU penaja utama, Erna mengeluarkan belanja hampir setengah juta untuk penganjuran Kamya Fest namun mengalami kerugian besar akibat isu tular.

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang juga pengasas Kamya Glow, Erna Elliyana Rosli kesal apabila menjadi mangsa fitnah vendor dan juga netizen dengan tuduhan tidak benar tentang penganjuran Kamya Fest yang berlangsung pada 10 hingga 12 Februari lalu sehingga tular dalam media sosial.

Sehubungan itu, Erna mendesak pihak terlibat yang menyebarkan perkara tidak tepat itu supaya menurunkan semula segala hantaran berbaur fitnah yang dibuat dalam media sosial dalam tempoh masa diberikan.

Peguam mewakili Erna, Ganesh Magenthiran dari Hakem Arabi & Associates ketika ditemui Kosmo! Online berkata, pihaknya memberikan tempoh selama dua minggu untuk pempengaruh dan netizen menurunkan  hantaran yang dibuat dalam media sosial bagi membersihkan nama usahawan itu.

“Pihak kami memberikan masa selama dua minggu untuk mereka menurunkan semula hantaran fitnah yang dibuat dalam media sosial. Sekiranya gagal berbuat demikian, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka.

“Hantaran berbaur fitnah yang disebarkan dalam media sosial telah mencalarkan imej dan nama baik Kamya. Jadi kami menyeru agar semua pihak berhenti menulis kata-kata tidak benar mengenai Kamya Fest,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Jelas Erna, pihaknya cuma bertindak sebagai penaja utama Kamya Fest yang dianjurkan oleh Underground Asia dan FWD. Malah, sebagai penaja utama, dia mengeluarkan kos melebihi RM445,000 untuk terbabit dalam festival tersebut.

Bagaimanapun, pada hari pertama penganjuran (10 Februari), tular dalam media sosial tentang beberapa isu sehingga pihaknya mengalami kerugian besar.

“Sasaran kami untuk mendapatkan 50,000 pengunjung tidak berjaya selepas tular beberapa isu pada hari pertama. Hal tersebut menyebabkan kami kerugian separuh daripada jumlah yang dilaburkan untuk acara tersebut.

“Selain isu viral, faktor cuaca seperti hujan juga menyebabkan kurangnya sambutan daripada pengunjung,” kata Erna.

Isu timbul apabila terdapat pempengaruh, pengunjung serta vendor yang terbabit meluahkan rasa kesal dan tidak puas hati apabila dikenakan bayaran masuk ke Kamya Fest.

Difahamkan bayaran sebanyak RM10 dikenakan kepada pengunjung untuk caj masuk ke tapak festival yang ditetapkan oleh penganjur.

Bagaimanapun, hasil perbincangan yang dibuat antara Kamya dan penganjur akhirnya membuat keputusan untuk tidak mengenakan caj pada hari kedua penganjuran.

Selain caj masuk, pengunjung juga mempertikaikan harga parkir yang dikenakan pihak pengurusan Stadium Bukit Jalil apabila mengenakan bayaran sebanyak RM20 yang dianggap terlalu mahal.

“Sekali lagi kami tegaskan Kamya adalah penaja terbesar festival berkenaan dan disebabkan itu dinamakan sebagai Kamya Fest. Kami bukanlah penganjur.

“Keputusan untuk mengenakan bayaran masuk ditetapkan oleh penganjur dan mereka juga bersetuju untuk tidak mengenakan bayaran pada hari kedua dan ketiga selepas perbincangan dibuat.

“Berkenaan kadar bayaran parkir yang mahal RM20 juga di luar pengetahuan pihak Kamya,” kata Erna.

Terdahulu, tular dalam media sosial apabila pengunjung termasuk vendor mengkritik penganjuran Kamya Fest apabila disifatkan sebagai ‘cekik darah’ sehingga Erna menerima pelbagai reaksi dengan kata-kata kesat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI