KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengeluarkan sebanyak 1,056 notis saman ke atas pemilik yang membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 92 notis dikeluarkan pada tahun 2020, 72 notis (2021), 830 notis (2022) dan 62 notis setakat Februari tahun ini menerusi sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan di seluruh Kelantan.
Menurut beliau, kebanyakan notis saman mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 itu dikeluarkan selepas pihaknya mendapati warga asing tidak memiliki lesen dan pemiliknya pula membenarkan.
Sepanjang tempoh itu, JPJ turut menyita 61 buah kenderaan yang dipandu warga asing di SJR yang dijalankan di seluruh Kelantan.
“Kesemua mereka didapati tidak memiliki lesen memandu. Ketika pemeriksaan, mereka hanya memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Misuari memberitahu, kebanyakan warga asing memberi alasan mereka meminjam kenderaan orang lain atau majikan.
Jelasnya, berdasarkan pemerhatian semasa ditahan, warga asing terbabit bekerja dalam sektor pembinaan, juruteknik elektrik, buruh binaan dan mengangkut sayur-sayuran berdasarkan barangan yang dibawa di dalam kenderaan mereka.
“Kita percaya mereka (warga asing) sudah membeli kenderaan tersebut daripada warga tempatan meskipun pelbagai alasan diberikan.
“Notis dikeluarkan ke atas pemilik bernilai RM300, mereka perlu menjelas kompaun tersebut sebelum dibenarkan mengambil semula kenderaan yang disita,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan notis saman dikeluarkan mengikut Seksyen 23 APJ 1987 iaitu memandu kenderaan tanpa lesen memandu dan tamat tempoh.
Selain itu, saman turut dikeluarkan mengikut Seksyen 90 APJ kerana tiada perlindungan insurans dan Seksyen 59 akta sama berkaitan kesalahan ubah suai kenderaan.
Berita berkaitan: Ramai suka jual kereta lama pada Rohingya
Kosmo! semalam melaporkan, gelap mata untuk mendapat duit banyak menjadi faktor sesetengah individu di Kelantan memilih menjual kereta lama kepada warga asing terutama etnik Rohingya.
Lebih mengejutkan mereka sanggup tidak menukar nama hak milik dan membuat perjanjian supaya mengaku kereta itu milik majikan sekiranya ditahan pihak berkuasa.
Keuntungan yang diperoleh mencecah sehingga 40 peratus daripada harga yang ditawarkan premis jualan kereta terpakai atau di media sosial.
Contohnya, kereta jenis Iswara Aeroback yang dikeluarkan pada 2005 sepatutnya dijual pada harga RM4,700 hingga RM5,000 mengikut pasaran semasa, tetapi ia boleh mencecah sehingga RM7,800 jika ‘ditolak’ kepada warga asing.