SESI persekolahan bagi tahun 2022 berakhir 17 Februari lalu dan penggal pertama sesi persekolahan 2023 akan bermula 11 Mac ini.
Cuti memberi ruang kepada pihak sekolah, ibu bapa, penjaga serta pelajar merancang aktiviti sepanjang tempoh berkenaan.
Namun baru-baru ini, tular satu klip video memaparkan sekumpulan pelajar sekolah menengah ‘bergembira dan teruja’ dengan melakukan perkara negatif.
Video itu memaparkan perbuatan khianat beberapa pelajar membaling kerusi, menendang pintu tandas serta membengkokkan kipas.
Terjemahan itu jelas menunjukkan tahap akhlak pelajar sekolah berkenaan sudah semakin pudar sehingga dikecam masyarakat.
Susulan kejadian itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu identiti pelajar terbabit sudah dikenal pasti dan mereka serta ibu bapa dipanggil bagi membantu siasatan.
Di mana silapnya? Adakah didikan ibu bapa atau salah guru dalam membina sahsiah diri pelajar yang dalam ‘perjalanan’ ke arah alam dewasa?
Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, pelajar yang terlibat disifatkan miskin moral.
Katanya, corak pemikiran gagal mempertimbangkan setiap kelakuan secara rasional seperti baik buruk atau kesan dan akibat sesuatu tindakan dilakukan.
“Kegagalan ini disebabkan kurang didikan, pengetahuan, adab serta tiada bimbingan. Pengaruh emosi yang tidak seimbang dengan beranggapan tingkah laku yang tidak bermoral dianggap sesuatu yang ‘bertujuan untuk seronok’ tanpa melihat kesannya terhadap orang lain dan persekitaran sosial.
“Kesan buruk terhadap personaliti sendiri yang menimbulkan rasa seronok boleh mengakibatkan tingkah laku tidak bermoral ini berterusan,” katanya.
Siti Fatimah berkata, perkara itu terjadi kerana kurangnya kawalan dan bimbingan daripada keluarga dan sekolah.
Kawalan tidak bermaksud 24 jam perlu dikawal, tetapi memberi ‘perhatian’ terhadap pengurusan diri mereka dari segi fisiologi, psikologi dan persekitaran sosial.
“Memberi perhatian adalah perkara yang penting kepada setiap anak. Apapun, pengaruh rakan sebaya memberi impak yang kuat kepada seseorang itu. Maka ibu bapa wajib mengambil tahu perihal siapakah kawan-kawan yang bersama anak-anak,” katanya.
Selain itu, katanya, pelajar sendiri perlu ada jati diri untuk memilih persekitaran yang positif dan memberi manfaat.
Sementara itu, Pakar Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila berlakunya gejala vandalisme.
“Hukuman seperti denda dan tindakan sewajarnya perlu dilaksanakan bagi memberi pengajaran serta pedoman kepada pesalah serta pelajar yang lain tersebut agar tidak terus melakukan perkara yang salah ini,” katanya.
Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan secara berkesan oleh pihak berkenaan khususnya kerajaan.
Di bawah (Akta Kerajaan Tempatan 9 undang-undang kecil vandalisme), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun jika sabit kesalahan.
Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme.
Tindakan yang lebih tegas perlu dikenakan pihak berwajib kepada pesalah vandalisme agar menjadi teladan kepada masyarakat lain.