CANBERRA, Australia – Identiti seorang penderma sperma prolifik terbongkar selepas 60 kanak-kanak dilaporkan memiliki wajah yang kelihatan sama, lapor akhbar Metro UK semalam.
Penderma sperma itu dilaporkan menggunakan nama yang berbeza. Lelaki Australia itu menggunakan empat nama samaran yang berlainan ketika menderma spermanya kepada pasangan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Kegiatan lelaki itu diketahui selepas beberapa ibu bapa bertemu dalam satu acara barbeku dan menyedari bahawa anak-anak mereka kelihatan sangat serupa, lapor akhbar The Herald Sun pula.
Selepas menelefon klinik yang menawarkan rawatan kesuburan in-vitro (IVF) di seluruh negara, mereka mendapati penderma itu hanya menggunakan satu klinik rasmi, tetapi turut menjual spermanya di laman Facebook.
Dr. Anne Clark dari Fertility First di Sydney mengesahkan bahawa kliniknya menggunakan khidmat penderma itu sekali sahaja, tetapi berkata, lelaki itu telah menawarkan spermanya secara online sebagai pertukaran untuk ‘hadiah’.
Tindakan membayar atau memberi hadiah untuk mendapatkan sperma manusia adalah haram di Australia yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Bagaimanapun, semakin ramai pasangan yang beralih kepada forum online yang menawarkan sumbangan sperma.
Kumpulan Facebook seperti Sperm Donation Australia dan Australian Backpackers Mencari Derma Sperma turut memuat naik hantaran daripada pasangan tiada zuriat yang mencari bantuan. – Agensi