PETALING JAYA – Selepas hampir setahun menduda, pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki mengakui sudah bertemu cinta baharu namun belum bersedia berkongsi perihal peribadi kepada umum terutama melibatkan wanita istimewa itu.
Alasan pemilik nama lengkap Datuk Afdlin Shauki Aksan, 52, memilih mengunci mulut mengenai hubungan tersebut kerana menghormati bekas isteri iaitu Datin Maria Christina Orow Abdullah.
“Sebenarnya, saya masih tidak bersedia untuk bercakap apa-apa mengenai perkara ini (hubungan baharu).
“Pada saya, satu benda yang ingin ditekankan adalah saya masih menghormati bekas isteri,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar malam gala filem Imaginur, malam tadi.
Tambahnya, walaupun sudah bercerai dia dan bekas isteri masih lagi berhubung sebagai rakan baik.
“Bagi memastikan semua benda berada dalam keadaan baik-baik sahaja, kami masih berhubung sehingga sekarang.
“Saya tetap memberikan nafkah kepada anak-anak dan dia (bekas isteri) kerana kami merupakan kawan baik.
“Insya-Allah, suatu hari nanti saya tetap akan berkongsi mengenai status terkini saya. Sekarang saya tidak bersedia lagi,” ujarnya yang memegang watak Doktor Ramli dalam Imaginur.
Selain Afdlin, pelakon-pelakon hebat lain yang turut membintangi filem tersebut ialah Beto Kusyairy, Diana Danielle, Nadiya Nisaa, Mior, Datuk Rahim Razali dan Fatimah Abu Bakar.
Imaginur diarahkan oleh sutradara yang pernah mengarahkan filem KIL dan Terbaik Dari Langit, Nik Amir Mustapha bakal ditayangkan bermula 23 Februari ini.
Terdahulu, selepas hampir 25 tahun mendirikan rumah tangga, Afdlin mengambil keputusan berpisah dengan Maria pada April 2022.
Hasil perkahwinan sejak mendirikan rumah tangga pada 1997, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin. – KOSMO! ONLINE