MANCHESTER – Ejen kepada Erling Haaland, Rafaela Pimenta merasakan penyerang Manchester City itu sepatutnya bernilai €1 bilion (RM4.73 bilion) dalam pasaran perpindahan semasa.
Ia berdasarkan prestasi mengagumkan penyerang berusia 23 tahun itu apabila menggegar Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak menyertai City daripada Borussia Dortmund musim ini.
Haaland kini sudah meledak 26 gol daripada 23 aksi EPL dan 32 jaringan dalam semua kejohanan musim ini, lima gol mengatasi pencabar terdekatnya, Kylian Mbappe dari Paris Saint-Germain.
Sehubungan itu, Pimenta merasakan mana-mana pasukan termasuk gergasi Sepanyol, Real Madrid perlu memecahkan rekod perpindahan termahal dunia sekiranya mahu mendapatkan tandatangan Haaland selepas ini.
“Haaland bernilai €1 bilion (RM4.73 bilion). Ia bukan rekaan, tetapi saya yakin nilai ini amat tepat dengan harga semasa Haaland.
“Mungkin orang akan mengatakan saya tak masuk akal kerana tiada kelab sanggup membayar €1 bilion. Namun, berdasarkan umur, kualiti dan perkembangannya membuktikan kenapa saya bercakap mengenai nilai itu.
“Tiada sesiapa dapat meramal apa akan berlaku pada masa depan, tetapi saya percaya ia akan berlaku,” kata Pimenta.
Pimenta kini mempunyai ramai klien yang berprofil tinggi selepas mengambil alih agensi milik Mino Raiola susulan kematian super-ejen itu tahun lalu.
– AGENSI