KUALA LUMPUR – Sebanyak 453,761 unit rumah telah dibina merangkumi pemajuan oleh pihak swasta dan yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tempoh lima tahun bermula 2018 hingga 2022.
Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perancangan perumahan yang dibangunkan oleh pemaju swasta dipantau melalui sistem Housing Integrated Management System (HIMS).
“Berdasarkan maklumat bagi tahun 2018 hingga 2022, sebanyak 4,829 permit iklan dan Jualan Pemajuan Perumahan atau Advertising and Sales Permit (AP) telah diluluskan atau diperbaharui di seluruh Semenanjung Malaysia melibatkan sebanyak 426,780 unit rumah.
“Pembangunan projek kerajaan khususnya untuk golongan B40 pula dipantau oleh KPKT yang mana bagi tempoh sama, sebanyak 26,981 unit rumah telah dibangunkan oleh kementerian dan agensi di bawah Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) telah dibangunkan oleh kementerian dan agensi di bawahnya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tuan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah projek perumahan baru serta bilangan unit rumah mengikut pengkelasan kategori rumah di seluruh negara bagi tempoh lima tahun terakhir.
Dalam pada itu, jelas Akmal Nasrullah mengikut perincian rumah berharga kurang dari RM300,000 adalah sebanyak 162,284 unit, rumah berharga RM300,001 hingga RM500,000 (51,771), rumah berharga RM500,001 hingga RM1,000,000 (70,779) manakala rumah berharga melebihi RM1,000,000 (168,927).
“Berdasarkan data tersebut, rumah berharga kurang daripada RM300,000 adalah mewakili 35.8 peratus daripada jumlah unit rumah yang dibangunkan dalam tempoh lima tahun tersebut.
“Bagi rumah yang bernilai RM300,001 hingga RM500,000 pula telah menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh tersebut.
“Bagi rumah bernilai RM500,001 hingga RM1,000,000, terdapat penurunan mendadak pada tahun 2021 yang mungkin disebabkan oleh penularan wabak Covid-19, namun telah kembali meningkat kepada tahun 2022,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE