KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sehingga 31 Disember lalu, seramai 4,333 Pegawai Perubatan kontrak telah dilantik tetap dan seramai 20,330 pegawai masih berkhidmat secara kontrak.
Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, bagi tahun ini, sebanyak 4,263 kekosongan jawatan tetap ditawarkan untuk diisi oleh Pegawai Perubatan kontrak yang berjaya dalam proses temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Jelas beliau, pelantikan tetap Pegawai Perubatan kontrak ini dijangka selesai pada Julai 2023.
Dalam pada itu, jelas beliau KKM tidak boleh menghalang mana-mana petugas kesihatan termasuk Pegawai Perubatan atau Pakar Perubatan meletak jawatan dan berhijrah untuk mendapatkan pekerjaan ke luar negara.
“Faktor utama penghijrahan Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan Kementerian yang telah meletak jawatan ini ke luar negara adalah disebabkan insentif dan gaji yang lebih baik ditawarkan sektor kesihatan luar negara khususnya di negara maju.
“Bagi Pegawai Perubatan di KKM, emolumen atau gaji permulaan yang diterima oleh Pegawai Perubatan Gred UD41 adalah berjumlah RM5,197.00 dengan kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak RM225.00 setahun.
“Gaji permulaan yang diterima ini pada dasarnya adalah jauh lebih tinggi daripada skim-skim perkhidmatan lain di peringkat Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41 dan ke atas) dalam Perkhidmatan Awam,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib (BN-Maran) yang ingin tahu apakah langkah segera yang diambil untuk menghalang penghijrahan kelulusan perubatan mendapat pekerjaan di luar negara dan berapa ramai lagi doktor-doktor kontrak yang belum diberikan taraf tetap. – KOSMO! ONLINE.