CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen bagi menyiasat laporan diterbitkan stesen televisyen Awesome TV.
Jabatan Komunikasi Korporat MCMC berkata, MCMC juga telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Awesome TV semalam bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung laporan mengenai cadangan mengurangkan bilangan penjawat awam.
“Satu kertas siasatan akan dibuka oleh MCMC di bawah Seksyen 206 AKM 1998 iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen.
“Apabila kertas siasatan dilengkapkan, ianya akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di tadi.
Katanya, jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 242 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“MCMC memandang serius aduan pengguna dan komited dalam usaha mempertingkat tahap pematuhan pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I).
“Ia supaya kandungan disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma-norma masyarakat selaras dengan AKM 1998 serta Kod Kandungan,” jelasnya.
Ujarnya, setiap aduan diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan-peraturan berkaitan di bawahnya dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Antara tatacara atau proses aduan dibuat adalah seperti memanggil pihak penyiar yang diadukan untuk tampil mengemukakan penjelasan bagi menentukan bentuk tindakan penguatkuasaan akan diambil,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE