SHAH ALAM – Kitab suci al-Quran termasuk helaiannya perlu dimuliakan dan bukannya dianggap seperti sampah dibuang atau dibakar sewenang-wenangnya.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, pihak MAIS amat berdukacita dengan kejadian berlaku di Tasik Sri Murni, Jinjang dekat sini baru-baru ini selain
berharap kes tersebut disiasat dengan sewajarnya.
Katanya, pelupusan naskhah al-Quran mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri.
“Semasa saya menjadi Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) dulu, al-Quran yang buruk ini yang sudah lusuh dan tidak boleh dibaca dibuang dengan cara memasukkannya ke dalam insinerator jadi abu sebelum kita buang ke laut.
“Al-Quran bukan boleh dibuang sewenang-wenangnya seperti sampah-sarap ke dalam longkang. Kalau dibuang sekalipun dan kita nampak, kita akan tahu ia adalah kitab suci kita,” katanya.
Terdahulu, beliau menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan persekolahan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Justeru, Abdul Aziz berharap orang ramai yang terlihat Al-Quran dibuang merata-rata supaya memulangkannya ke masjid, surau.
Tambah beliau, sekiranya bukan Islam menemuinya lebih afdal diserah kepada masyarakat Islam.
“Insya-Allah, bagi memelihara kesucian al-Quran, saya akan memaklumkan kepada Jawatankuasa Khutbah Jumaat untuk mengingatkan kepada umat Islam di Selangor khususnya bagi menjaga kesucian kitab al-Quran,” katanya. – KOSMO! ONLINE