SHAH ALAM – Ketua UMNO Cawangan Taman Kampung Kuantan, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam pada pemilihan bulan depan.
Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian itu berkata, objektif utamanya mahu memastikan kebangkitan dan meyakinkan rakyat supaya kembali kepada parti dan Barisan Nasional (BN).
Menurut Ahmad Mua’adzam, beliau akan menggembleng segala usaha dan gerak kerja sepadu dengan berbekalkan idea, semangat juang dan pengalaman yang ada.
“Saya percaya hubungan baik dengan akar umbi turut dapat membawa jentera berusaha mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
“Dengan rendah diri dan penuh tawaduk, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan utama UMNO Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, beliau bersedia menggalas amanah besar itu dan merayu sokongan serta undi daripada semua pihak.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari didakwa enam pertuduhan termasuk salah guna harta berjumlah RM440,000 bagi program korban perdana dan sumbangan pakaian kepada anak yatim pada 2010 dan 2017.
Azhari bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 403 dan 471 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE