PELUMBA berbakat negara, Syarifuddin Azman bersedia untuk menggegar arena perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas menetapkan sasaran untuk memburu gelaran ‘rookie of the year’ Moto3 musim ini.
Justeru, Syarifuddin atau dikenali dengan gelaran Damok bertekad memanfaat sepenuhnya aksi latihan di Sepanyol dan aksi pramusim di Portimao, Portugal yang berlangsung 18 hingga 21 Februari bersama pasukan MT Helmets-MSI.
Bagaimanapun, Syarifuddin mengakui bersedia memberi tentangan sengit kepada pesaingnya yang juga rakan sepasukannya pada Kejuaraan Dunia JuniorGP, musim lalu, Jose Antonio Rueda.
Bagi Syarifuddin, dia tetap tekad dengan sasarannya dan bersedia untuk mengatasi bekas juara kelas JuniorGP musim lalu dari Sepanyol itu.
“Saya sudah bersedia untuk merebut gelaran ‘rookie of the year’ dan saya memang meletak sasaran untuk ‘langgar’ Rueda,” kata Damok yang akan berganding dengan Diogo Moreira dari Brazil bagi saingan musim ini.
Pada saingan JuniorGP musim lalu, Damok menamatkan saingan di tempat keempat selepas mengumpul 117 mata, manakala Rueda muncul juara keseluruhan dengan 238 mata.
Mengulas mengenai rakan sepasukannya Moreira yang menamatkan saingan Moto3 di tempat kelapan pada musim lalu, Damok berkata, dia menganggap pelumba berusia 19 tahun itu sebagai ‘lawan’ di dalam trek dan rakan ketika di luar perlumbaan.
“Saya anggap Moreira lebih kepada lawan walaupun dia adalah rakan sepasukan saya, namun apabila menyarung topi keledar, saya akan ‘langgar’ dia juga.
“Tetapi fokus saya pada Moto3 adalah meraih catatan masa sepusingan yang lebih bagus berbanding tahun lalu. Saya sudah melihat catatan masa sepusingan tahun lalu.
“Pada tahun ini apabila saya bandingkan di JuniorGP dan di Kejuaraan Dunia (Moto3), saya lihat perlu untuk saya bekerja keras daripada awal sesi latihan bebas sehinggalah perlumbaan,” tambahnya.