JOHOR BAHRU – Seramai 48,759 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2022 di 367 pusat peperiksaan yang dibuka di seluruh negeri ini.
Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Anuar Sukiran berkata, seramai 4,823 petugas yang terdiri daripada guru-guru telah digerakkan bagi memastikan kelancaran peperiksaan yang bermula hari ini sehingga 15 Mac depan.
“Daripada seramai 48,759 calon SPM 2022 di Johor, 1,796 merupakan calon persendirian; manakala seramai 149 merupakan calon berkeperluan khas iaitu pelajaran daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas melakukan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, di sini hari ini.
Tambah Anuar, JPNJ telah mengatur dan membuat persediaan rapi bagi memastikan SPM 2022 dapat berjalan lancar, bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar.
“Manakala bagi calon-calon SPM yang tinggal di kawasan kepulauan di Mersing, kesemua peperiksaan dijalankan di kawasan darat dengan diuruskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Mersing,” jelasnya.
Sementara itu, salah seorang calon SPM 2022, Mohd. Nabil Hazim Md. Idrus memberitahu, dia berasa bersempena untuk memulakan peperiksaan hari ini setelah membuat persediaan sejak beberapa bulan lalu.
“Hari ini ‘paper’ Bahasa Melayu dan Seni Visual, insyaAllah boleh jawab. Saya sudah bersedia sejak beberapa bulan lalu,” katanya ringkas kepada pemberita.
Sementara itu, dua lagi calon SPM 2022, iaitu pasangan kembar Mohd. Asyraf Abdullah dan Mohd. Azizan Abdullah turut menyatakan perasaan semangat untuk menduduki peperiksaan yang bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE