KLANG- Seramai 309 pelajar Kolej Sultan Alam Shah (KISAS) menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang bermula hari ini.
Pengetua KISAS, Kamarul Ariffin Mohd. Shah berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 228 pelajar mengambil aliran Sains Tulen manakala 81 pelajar lagi adalah pelajar Ikhtisas.
“Untuk tahun ini, kami menggunakan satu dewan besar dan tujuh bilik darjah bagi semua calon mengambil SPM hari ini.
“Kami telah mengikut segala garis panduan susun atur kedudukan pelajar mengambil peperiksaan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya ketika ditemui di KISAS, di sini hari ini.
Menurut beliau, semua pelajar KISAS mengambil 11 mata pelajaran untuk SPM kali ini.
Tambah Kamarul Ariffin, kesemua calon SPM menduduki dua kertas peperiksaan Bahasa Melayu pada sebelah pagi dan petang, hari ini.
“Kertas peperiksaan terakhir adalah Matematik Tambahan yang dijadualkan pada 13 Mac depan. Saya mendoakan agar semua pelajar KISAS dapat menjawab semua soalan SPM dengan cemerlang kali ini,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE