ALOR SETAR – Seramai 29,745 pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertulis di Kedah yang bermula hari ini hingga 15 Mac depan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri, Rozaini Ahmad berkata, daripada jumlah itu, seramai 25,718 merupakan calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).
Katanya, sebanyak 264 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negeri bagi menempatkan kesemua calon.
“Bilangan calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) ialah seramai 57 orang antaranya melibatkan mereka yang menghadapi masalah pembelajaran, kurang upaya fizikal, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pendengaran dan individu terlibat kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, calon paling ramai dicatatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aman Jaya, Sungai Petani iaitu seramai 432 orang diikuti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa (CF) 386 orang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chio Min di Kulim seramai 351 orang,” ujarnya.
Tambahnya, calon paling sedikit dicatatkan di Sekolah Integriti Sungai Petani iaitu seramai tiga orang diikuti Maahad Al Imam Al Syafie di Pendang dan SMK ST. Patrick di Kulim yang masing-masing cuma memiliki 15 calon sahaja. – KOSMO! ONLINE