fbpx

Skuad B-23 negara tagih ‘khidmat’ Arif Aiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arif Aiman menjadi salah seorang pemain utama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan berjaya meraih gelaran MVP musim lalu. - Foto ihsan Johor Southern Tigers

PETALING JAYA – Pemain paling bernilai (MVP) Liga Malaysia 2022, Arif Aiman Hanapi menjadi salah seorang pemain bertaraf bintang untuk diserapkan dalam skuad bawah 23 (B-23) negara pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja pada April depan.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, E. Elavarasan mengakui barisan kejurulatihan sentiasa mahukan pemain terbaik negara untuk mewakili pasukan sekiranya mahu melakar keputusan yang diharapkan pada kejohanan itu nanti.

Kata Elavarasan, bukan sahaja Arif, dua lagi pemain muda ternama seperti Luqman Hakim Shamsuddin dan kapten pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi turut diharapkan dapat menguatkan skuad negara pada temasya dwitahunan itu.

“Bagi saingan Sukan SEA, kami mahu kumpulkan pemain-pemain terbaik namun disebabkan saingan bukan berada dalam kalendar FIFA, kelab memiliki hak untuk tidak melepaskan pemain.

“Sudah pasti kualiti pemain yang beraksi di Liga Super berbeza. Pemain bintang seperti Arif Aiman, ia bergantung kepada pengurusan kelab.

“Namun, jika mereka lepaskan pemain untuk sertai kami, ia satu perkara yang sangat bagus sebab dia ada kualiti dan keyakinan.

“Luqman Hakim pun kita sedang pantau memandangkan dia kini beraksi di Iceland selain mengharapkan kehadiran Mukhairi Ajmal,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Prestasi skuad B-23 negara telah dikritik hebat pada tahun lalu susulan keputusan hambar yang diraih pada tiga kejohanan yang diharungi, Piala AFF B-23 2022 di Kemboja, Sukan SEA 2021 di Vietnam dan Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

Situasi tersebut menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merombak barisan kejurulatihan dengan menggantikan Brad Maloney dengan Elavarasan pada penghujung tahun lepas. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI