PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan detik cemas apabila rumahnya dimasuki seekor ular tedung hitam, di Bandar Sungai Long, malam ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Langat berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7.33 malam dan seramai empat anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, terdapat seekor ular tedung hitam di kawasan pondok pengawal rumah Perdana Menteri.
“Anggota APM telah berjaya menangkap ular tedung hitam tersebut menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, anggota APM mula mengemas peralatan.
Anwar dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga sempat beramah mesra dengan anggota APM sebelum bertolak balik ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Hulu Langat. – KOSMO! ONLINE