fbpx

Remaja maut nahas tujuh motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan melibatkan tujuh buah motosikal di Kilometer 38.8 Lebuh Raya Kajang Seremban (LEKAS) arah Selatan di sini, awal pagi semalam. FOTO : IHSAN FACEBOOK

SEREMBAN – Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal dinaiki terjatuh selepas bergesel sebelum dirempuh dalam kemalangan membabitkan tujuh buah motosikal di Kilometer 38.8, Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) arah Selatan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa yang berusia 19 tahun bergerak berkumpulan dari Nilai menuju ke Seremban dengan menunggang motosikal jenis Honda RS150, parah di muka dan disahkan maut di lokasi.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang pemuda berusia 21 tahun yang bergerak dalam kumpulan sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Nanda, pelanggaran pukul 3 pagi itu menyebabkan kedua-dua buah motosikal terjatuh di atas jalan sebelum dirempuh lima buah motosikal lain yang ditunggang lelaki berusia 17 hingga 20 tahun.

“Lima buah motosikal tersebut tidak sempat mengelak dan melanggar kenderaan mangsa. Akibat pelanggaran, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Lima mangsa yang lain mengalami luka di badan. Seorang lagi mangsa berusia 17 tahun cedera di bahagian muka,” katanya di sini, hari ini.

Nanda berkata, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk proses bedah siasat. Mangsa-mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Sebelum ini tular tiga rakaman video berdurasi 30 saat, 12 saat dan 15 saat di media sosial dan aplikasi ‘Whatsapp’ yang memaparkan kejadian kemalangan jalan raya melibatkan sekumpulan motosikal di Lebuh Raya Lekas.

“Hasil penelitian ke atas video tersebut mendapati dua daripadanya berlaku di Lebuh Raya Lekas manakala video berdurasi 30 saat pula dipercayai rakaman video lama yang disiarkan semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI