MADRID – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti masih enggan mengibarkan bendera putih dalam usaha mempertahankan kejuaraan La Liga selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Osasuna awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium El Sadar itu, skuad The Galacticos berjaya merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Barcelona selepas mengutip tiga mata berharga hasil ledakan Federico Valverde dan Marco Asensio.
Kata Ancelotti, kemenangan tersebut sudah pasti menaikkan moral pasukan menjelang perlawanan penting bertemu Liverpool pada aksi 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu nanti.
“Saya berpuas hati dengan apa yang pasukan pamerkan sepanjang perlawanan ini meskipun pasukan bermula agak perlahan pada babak pertama sebelum bangkit tampil lebih agresif pada separuh masa kedua.
“Semua pemain begitu serius untuk memastikan pasukan meneruskan momentum kemenangan sekali gus memberikan tekanan kepada pendahulu liga. Ia juga menaikkan semangat sebelum pasukan bertemu Liverpool nanti,” katanya.
Sementara itu, pengendali import dari Itali itu turut memuji impak yang dipamerkan oleh pemain muda Uruguay, Alvaro Rodriguez selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dan pasti khidmatnya akan terus diperlukan pada aksi akan datang.
“Rodriguez sudah mula menunjukkan kualiti yang ada dan saya tidak terkejut kerana dia adalah pemain yang bagus dengan ciri-ciri fizikal dan teknik yang baik.
“Saya mahu dia kekal fokus untuk membantu pasukan mencapai sasaran ditetapkan,” katanya. – AGENSI