fbpx

Projek PLSB Sungai Golok diteruskan elak bah besar jangka masa panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi pada sidang akhbar di sebuah hotel di Kota Bharu malam tadi. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang diteruskan bagi mengelakkan air Sungai Golok terus melimpah sehingga menyebabkan banjir besar di kawasan penduduk pada masa depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, projek yang sedang dijalankan itu dilihat mampu mengurangkan masalah banjir di beberapa kawasan di sekitar Sungai Golok meskipun ada kampung yang terjejas teruk semasa musim tengkujuh pada Disember lalu.

Menurutnya, sehubungan itu, pihak kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat saliran yang membolehkan air bertakung keluar dari kawasan banjir sebelum PLSB siap tahun depan.

“Masalah banjir telah berkurangan dengan ketara di beberapa kawasan lain (di Rantau Panjang) semasa proses pembinaan PLSB, namun, kita tetap ambil maklum bahawa beberapa kawasan terutamanya di Kampung Tersang terjejas teruk semasa banjir pada tahun lalu.

“Justeru, PLSB amat diperlukan untuk menahan air Sungai Golok daripada melimpah ke kawasan penduduk. Setakat ini, kerajaan telah melakukan pelarasan yang melibatkan aspek teknikal bagi mengelakkan kejadian banjir teruk berlaku sepanjang proses pembinaan PLSB,” katanya pada sidang akhbar selepas perjumpaan bersama media Kelantan di sebuah hotel di sini malam tadi.

Sebelum ini, penduduk di beberapa buah kampung di Rantau Panjang mendakwa kawasan rumah mereka sering dilanda bah dan banjir termenung sekiranya berlaku hujan lebat.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi memberitahu, beliau berharap penduduk di kawasan Sungai Golok ambil maklum bahawa projek itu belum siap sepenuhnya dan kerajaan ketika ini sedang meneruskan PLSB untuk keselesaan mereka pada masa akan datang.

Menurutnya, segala pelarasan melibatkan aspek teknikal yang membolehkan air bertakung keluar dari kawasan terjejas banjir sedang dijalankan agar dapat mengurangkan masalah penduduk sekiranya terjejas banjir.

“Cuaca ketika ini tidak dapat dijangka apabila hujan lebat luar biasa berlaku pada hujung tahun lalu. Jadi, banyak projek-projek baharu menerusi PLSB dijalankan selepas aspek pelarasan. Sepatutnya, projek ini mampu bertahan lebih lama meskipun perlu berdepan dengan kadar hujan yang tidak menentu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI