PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara jelita Amelia Henderson menangkis dakwaan segelintir pihak bahawa audio siar (podcast) kendaliannya, Studio Sembang menjadi platform membuka aib figura jemputannya.
Amelia atau nama lengkapnya, Amelia Thripura Henderson sebaliknya mendedahkan setiap kandungan yang dirakam menjalani proses suntingan bersama mereka yang terlibat termasuk artis atau figura jemputan.
“Studio Sembang bagi ruang kepada tetamu undangan yang dijemput bercakap tentang kehidupan mereka dengan tujuan menyebarkan mesej yang baik.
“Apabila saya tanya tentang hidup mereka, saya tak pernah kawal atau paksa mereka cakap untuk menjadikan sesuatu perihal jadi kontroversi.
“Sebaliknya, bila ‘shooting’ untuk Studio Sembang, saya hantar hasil akhir dan semua klip supaya kita dapat sunting (edit) sama-sama. Itu satu proses ‘mutual editing’,” katanya kepada Kosmo! Online.
Getus pelakon filem animasi, Didi & Friends The Movie itu, dia tidak akan pernah sesekali memuat naik kandungan dalam platform podcast tersebut tanpa persetujuan selebriti jemputan.
“Saya tak pernah lepaskan atau muat naik apa-apa kandungan tanpa persetujuan selebriti jemputan dalam Studio Sembang.
“Apatah lagi apabila apa yang dikongsi kepada umum melibatkan kehidupan peribadi mereka. Tapi, saya mengaku pernah sahaja terjadi apabila dah terbitkan, terfikir benda yang dikongsi itu tak sesuai untuk tatapan umum,” katanya.
Antara figura popular yang pernah menjadi jemputan podcast Studio Sembang adalah Diana Danielle, Anna Jobling, Idris Khan, Datuk Jalaluddin Hassan, Nazim Othman, Ernie Zakri dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Terdahulu, episod yang menampilkan Diana Danielle sebagai selebriti jemputan antara menjadi tumpuan apabila pelakon itu mendedahkan tentang trauma pernah dikasari bekas kekasih yang merupakan orang penting dalam industri kreatif tanah air. – KOSMO! ONLINE