fbpx

Penyatuan dua dekad ST12, Charly di Axiata Arena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AXIATA Arena akan menjadi pentas penyatuan semula antara ST12 dengan bekas vokalisnya, Charly Van Houten sekali gus meraikan dua dekad mereka dalam industri.

MESKIPUN sudah lebih sedekad meninggalkan kumpulan ST12, namun keakraban dan keserasian antara bekas vokalisnya, Charly Van Houten dengan ahli lain masih kekal utuh seperti sebelumnya.

Membuang jauh ego dan menyisihkan perbezaan misi serta visi yang menjadi punca Charly serta Dedy Sudrajat atau Pepeng (gitaris) mengundur diri pada 2011, mereka pernah kembali bersatu pada 2019.

Pada waktu itu, mereka meluncurkan single berjudul Jangan Marah-Marah yang secara tidak langsung menepis dakwaan tentang hubungan bersama Charly dan Pepeng yang dikatakan dingin, namun masalah kontrak antara label menyukarkan untuk kembali bergerak sebagai sebuah kumpulan.

Pada akhirnya, usaha tersebut cuma dijadikan sebagai projek reunion, namun tetap mempunyai signifikan tersendiri, apatah lagi menjadi penghargaan terhadap sokongan peminat sejak ST12 mula bertapak pada 2004.

“Meskipun sudah membawa haluan masing-masing, hubungan kami tetap baik, cuma mungkin tidak diketahui umum. Komunikasi antara kami tetap berjalan meskipun Charly dan Pepeng kini mengusung nama Setia Band.

“Setiap apa yang dilalui, kami saling berkongsi. Lantas, apabila ada permintaan untuk kami bergabung, tiada halangan. Peminat adalah keutamaan kerana merekalah penyokong karya kami,” kata ST12 yang kini dibarisi Ilham Febry atau Pepep (dram) dan Indra (bass).

Tambah Pepep, tiada batasan dalam berkarya kerana menerusinya mereka dapat membuatkan orang lain bahagia.

Justeru, kebahagiaan tersebut akan diterjemahkan pada Konsert Reunion ST12/Tahun Charly Berkarya yang akan direalisasikan pada 11 Mac depan bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Katanya, penganjuran konsert berkenaan sangat bermakna kerana tidak sekadar meraikan 20 tahun Charly berkarya dalam industri muzik, malah menjadi momen penyatuan semula mereka di atas sebuah pentas yang sama di negara ini.

“Umum mengetahui, langkah Charly bermula pada titik yang sama dengan ST12. Justeru, konsert ini bakal mencipta sejarah tersendiri dengan menyatukan semula formasi awal ST12 meraikan dua dekad perjalanan kami.

“Konsert ini juga mencerminkan kedewasaan dan kematangan ST12 dalam memenuhi keinginan penggemar. Ini sekali gus membuktikan keterbukaan kami dalam meraikan perbezaan, pada masa sama tetap bersatu mengukuhkan industri muzik,” katanya.

Lebih istimewa, konsert berkenaan turut menampilkan nama popular seperti Firman Siagian dan penampilan khas anak Charly, Restu Van Houten termasuk penyanyi tempatan iaitu Jaclyn Victor dan Ezad Lazim.

“Alhamdulillah, kami berbangga apabila usaha ini direstui peminat. Melihat sokongan yang diberikan, terutama selepas mendapat tahu tiket untuk beberapa kategori telah habis ditempah, ST12 yakin objektif konsert ini akan terlaksana.

“Sudah pasti kami mengharapkan lebih ramai peminat dapat hadir bersama pada konsert ini nanti. Banyak lagu istimewa yang akan ditampilkan dan tentunya akan menjadi malam terindah untuk dikenang semua,” ujar Pepep.

Tiket Konsert ST12 Reunion/20 Tahun Charly Berkarya yang dijual pada harga RM99, RM152, RM252 dan RM282 boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.my. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI