REMBAU – Seorang pengawal keselamatan maut apabila motosikal yang ditunggangi terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27, Jalan Tampin – Seremban, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.40 malam itu, mangsa, Shyahril Amirul Yahaya, 20, yang beralamat di Taman Rembau Utama disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari arah Seremban menuju ke Tampin.
“Semasa sampai di tempat kejadian, mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sendiri masuk longkang di sebelah kiri dan mangsa tercampak ke bahu jalan kawasan berumput di sebelah kiri.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Hazri, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE