Suatu ketika dahulu, Sir Elton John pernah popular dengan lagu Sorry Seems To Be The Hardest Word.
Kalaulah penyanyi legenda itu tahu situasi-situasi yang berlaku hari ini, barang kali dia berasa malu dan akan mengubah lirik lagunya itu.
Hari ini kita menyaksikan siri keterlanjuran-keterlanjuran yang disudahi dengan memohon maaf sedangkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan memang boleh dielakkan andai kita menjaga tutur kata.
Apatah lagi kesalahan melibatkan unsur perkauman atau agama di negara ini yang seharusnya setiap yang bergelar warga Malaysia itu sudah arif letak duduknya.
Sejak hujung Januari lalu, negara terpalit dengan deretan kes seumpamanya. Kes pertama dan kedua berkait konsert penyanyi legenda dari India, AR Rahman di Kuala Lumpur pada 28 Januari lalu melibatkan dua wanita Melayu.
Seorang wanita yang hadir menonton konsert itu kerana mahu menyaksikan persembahan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memuat naik status bersama kapsyen ringkas dengan penggunaan perkataan amat sensitif bagi kaum India.
Seorang lagi wanita yang merupakan pemain hoki negara, Hanis Nadiah Onn memuat naik ciapan komen ‘bau best la kat dalam tu’ pada salah satu gambar dan video keadaan konsert itu.
Kemudian, bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik memberikan kenyataan biadab bahawa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dianggotai ramai orang Melayu dan solat lima waktu punca sukan itu berada dalam keadaan teruk ketika ini. Seorang penceramah bebas terkenal pula mengeluarkan kenyataan ‘sembah syaitan’ dikait dengan Thaipusam.
Keempat-empat mereka kemudian memohon maaf.
Itu belum lagi termasuk kes ahli politik, P. Ramasamy yang sebelum ini pernah memohon maaf kerana menggelar penceramah Islam, Zakir Naik sebagai syaitan kini tampil pula dengan gesaan menamatkan dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam.
Kenapa kejadian sebegini berulang-ulang? Susah sangatkah menjaga sensitiviti antara kita? ‘Jangkitan celupar dan lancang’ ini harus segera dihentikan.
Memang mulia sifat meminta maaf, namun pola buat kesalahan kemudian meminta maaf ini yang berulang-ulang menjadikan orang merasakan perkataan maaf sudah tidak ada makna dan nilainya lagi atau sekadar mainan di bibir. Paling dikhuatiri jika masyarakat mula bertanggapan, tidak mengapa menyinggung hati kaum lain, esok lusa minta maaflah, selesai.
Ingat, forgiving doesn’t necessarily mean forgetting, orang boleh memaafkan tetapi kata yang dilepaskan sudah pun mencalar dan mencipta ‘kerosakan’. Lupakah kita peringatan datuk nenek, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Malaysia sebuah negara majmuk. Negara ini terbina dengan asas perpaduan kaum sejak kita merdeka berdekad-dekad lalu. Setiap daripada kita sepatutnya tahu menjaga sensitiviti. Caranya mudah, elak saja menyentuh amalan atau sifat kaum lain. Al-Quran ada pedomannya: “Bagi kamu agama kamu, bagiku agamaku.”
Bapa Kemerdekaan berpesan: “Kita semua rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Marilah kita sentiasa mengingati bahawa perpaduan kekuatan asas kita sebagai rakyat dan sebagai sebuah negara.”