KAJANG – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengakui beliau berasa amat berdebar kerana anaknya mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Menurut Fadhlina, meskipun beliau seorang Menteri Pendidikan, tetapi beliau juga seorang ibu yang sentiasa mendoakan kejayaan untuk anak-anak.
Beliau malah memaklumkan berpuasa dan melakukan solat hajat bersama suami hari ini sebagai ikhtiar untuk kejayaan anak perempuannya itu.
“Semalam beliau (anak) sedikit sebak kerana kami tidak bersama secara fizikal, tetapi semangat dan doa sentiasa diberi. Saya fikir banyak ibadat boleh dilakukan oleh kita sebagai ibu bapa untuk kejayaaan anak-anak.
“Hari ini misalnya saya berpuasa dan bapanya bangun solat hajat bersama untuk kejayaan anak. Yang pasti berdebar,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat di Bangi dekat sini pagi ini.
Beliau tiba di sekolah berkenaan kira-kira pukul 7.10 pagi untuk meninjau persiapan peperiksaan SPM dan memberi kata-kata semangat kepada calon SPM.
Fadhlina dalam ucapan ringkasnya mendoakan kejayaan kepada semua calon SPM dan meminta mereka fokus, tenang serta sabar dalam menjawab soalan.
“Buat yang terbaik untuk diri sendiri, ibu bapa, masyarakat dan negara,” katanya.
Mengulas video tular vandalisme di sebuah sekolah di sekolah menengah di Pulau Pinang, beliau memaklumkan kaunseling telah diberikan kepada pelajar terlibat.
“Kita telah selesai siasatan disusuli dengan kaunseling dan kita akan lihat hasil kaunseling apa yang sebabkan mereka jadi begitu.
“Kita jangan putus asa dengan anak-anak ini. Saya faham ramai marah, tetapi anak-anak ini mesti diberi peluang, teguran dan kaunseling berterusan,” ujarnya.
Beliau turut meminta orang ramai tidak mendedahkan identiti pelajar terlibat dan tidak lagi menyebarkan rakaman video vandalisme tersebut supaya proses intervensi dapat berjalan dengan baik. – KOSMO! ONLINE