GEORGE TOWN – Mayat anggota polis berpangkat sarjan yang maut selepas disyaki menembak diri sendiri akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Sri Aman, Sarawak, hari ini.
Mayat mendiang Jana Anak Milie, 51, dibawa pulang dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas.
Terdahulu, mayat bapa tiga cahaya mata itu dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pukul 4.10 petang tadi dengan menggunakan kenderaan jenazah persendirian.
Turut kelihatan ialah isteri dan anak serta saudara-mara yang datang dari Sarawak.
Isterinya, Sandra Anak Kuno, 50, memberitahu, dia reda dengan pemergian suaminya itu meskipun masih terkejut dengan kejadian yang berlaku kelmarin.
“Dia (mendiang) seorang suami yang baik, suka dengan anak-anak dan peramah dengan semua orang, selalu bergurau senda serta tidak pilih kawan.
“Saya reda dengan apa yang berlaku. Kami tinggal di sini sama-sama. Dia tidak tunjuk sebarang tanda. Sembang, makan, minum dan tidur macam biasa,” katanya ketika ditemui di sini, petang semalam.
Beritahunya lagi, mayat mendiang suaminya akan disemadi mengikut adat kaum Iban selama tiga hari dan dikebumikan di Kampung Sutong, Sri Aman pada Jumaat ini.
Terdahulu, mayat anggota polis terbabit ditemui dengan kesan tembakan di kepala, leher dada di belakang bangunan Balai Polis Bayan Lepas kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
Turut ditemui sepucuk pistol di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE