fbpx

Mahkamah: Keputusan representasi kedua Yasin 6 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail Yasin pada Januari lalu.

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 6 Mac ini bagi keputusan representasi kedua yang dikemukakan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman bagi mengkaji tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad turut mengekalkan tarikh sama bagi perbicaraan hari pertama tertuduh yang dijadualkan berlangsung selama 15 hari pada bulan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan representasi kedua masih dipertimbangkan peringkat tertinggi Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dan menetapkan perkembangan representasi pada hari sama,” ujar beliau.

Pada 11 Januari lalu, Yasin gagal dalam permohonan untuk mengkaji tiga pertuduhan berkaitan dadah selepas AGC menolak representasi yang dikemukakannya.

Dengan perkembangan itu, Yasin dijadual dibicarakan selama 15 hari bermula Mac pada 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac manakala 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, bernasib baik apabila tidak berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar kanabis seberat 214 gram.

Perkara itu berikutan pihak pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin dituduh dengan pertuduhan baharu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Yasin didapati dalam milikannya kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang, 24 Mac 2022.

Yasin turut didakwa menanam 17 pokok ganja yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama. Lelaki itu juga didakwa memberikan dirinya dadah di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya pada tarikh sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI