KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan tiada pihak yang mensabotaj program Menu Rahmah.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, beliau yakin pihak terlibat termasuk syarikat besar atau individu yang menawarkan Menu Rahmah tidak akan berkompromi dari segi kualiti untuk dijual kepada rakyat.
“Saya tak percaya ada syarikat dengan nama besar atau individu berniaga hatta di warung kecil kampung yang mana ada tak mereka ini, berkompromi dengan kualiti.
“Contohnya (menjual) ikan sudah busuk atau sayur dicampak tepi jalan untuk masakan Menu Rahmah. Saya yakin tidak akan ada mereka sengaja salah guna Menu Rahmah yang diperkenalkan bagi bantu rakyat khususnya golongan memerlukan.
“Malah saya yakin rakyat Malaysia apa sahaja agama dan bangsa, bila nak buat Menu Rahmah, tidak akan kompromi dengan kualiti dan kuantiti,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Rahmah AEON BiG (M) Sdn. Bhd. atau AEON BiG di AEON BiG Wang Maju di sini, hari ini.
Sementara itu, pelancaran Program Rahmah di AEON BiG hari ini merangkumi Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah.
Menerusi Jualan Rahmah oleh AEON BiG, ia menawarkan 100 produk terpilih dijual pada harga lebih rendah, antaranya beras, minyak masak, makanan proses, peralatan mandian dan pelbagai keperluan asas.
Bagi set Menu Rahmah pula ia berserta air mineral berharga RM4.95 sahaja. Antaranya ialah Menu Rahmah Ayam, Menu Rahmah Sotong, Menu Rahmah Ayam Hitam, Menu Rahmah Ayam Lemak, Menu Rahmah Ayam Merah, Menu Rahmah Ikan dan Menu Rahmah Ikan Lemak.
Pakej Rahmah pula menyediakan pakej barangan keperluan harian bernilai RM50 yang akan dijual di seluruh cawangan AEON BiG. – KOSMO! ONLINE