PETALING JAYA – Bukan mudah membesar dalam keluarga berpecah-belah (broken family) dan perkara tersebut diakui penyanyi rap, Waris.
Kata Waris atau nama sebenarnya, Muzzammil Alias, dia berasa sangat sedih dengan ‘penyakit’ yang sedang melanda sebilangan pelaku seni tanah air yang berdepan konflik kecurangan antara pasangan suami isteri sehingga melupakan dampak ditinggalkan kepada anak mereka.
“Saya datang daripada broken family dan saya tak sokong apa yang sedang berlaku dalam industri kita sejak akhir-akhir ini.
“Mak ayah saya bercerai ketika saya berusia 5 tahun. Nak cakap pasal benda ini memang agak sensitif buat saya. Bagi diri saya, memang tak patut berlaku sebab saya faham macam mana dibesarkan dalam keadaan sebegitu.
“Saya dibesarkan tanpa keberadaan seorang ayah dan sejak itu, mak saya kena bertungkus lumus (struggle) dengan arwah atok dan wan (nenek).
“Jadi, saya faham sangat (apa anak-anak rasa bila bapa mereka tidak lagi bersama). Tapi, saya tak marah orang sebab Islam pun ajak kita supaya jangan marah pelaku tapi marah atau bencikan dosa yang membawa kemungkaran,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelantun lagu Rembau Most Wanted yang ditemui usai tayangan perdana filem animasi, Didi & Friends The Movie itu menambah, wanita bernama ibu adalah seseorang yang kuat berdepan pelbagai kesukaran dalam hidup.
“Mak saya boleh buat dua-dua kerja (tugas ibu dan bapa) dan mak semua orang pun boleh benda itu juga.
“Saya sebagai anak broken family, banyak benda yang saya hilang. Saya tak pandai bertukang, sebab saya tiada ayah.
“Sungguhpun begitu, dari masa ke masa, mak saya lengkapkan saya dengan kemahiran yang sepatutnya ayah saya ajar.
“Macam sekarang bila dah ada dua orang anak, saya ajar anak saya macam mana nak baiki paip. Dulu yang ajar saya semua itu adalah pak cik saudara. Saya belajar macam-macam tanpa kehadiran lelaki bernama ayah termasuk seni mempertahankan diri,” katanya lagi.
Waris, 35, diminta mengulas tentang kesan keluarga berpecah-belah atau broken family ke atas pembesaran atau mental seseorang anak disebabkan pasangan berumah tangga yang memilih jalan bercerai atau berselingkuh dengan orang ketiga. – KOSMO! ONLINE