fbpx

Kecelaruan personaliti penyakit genetik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD FIRDAUS FAHMI JUNAIDI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini, seorang pengguna di media sosial memuat naik video memaparkan kehidupannya yang terjejas setelah disahkan menghidap sejenis penyakit mental dipanggil Kecelaruan Personaliti Pinggiran (BPD).

Mahasiswa sebuah universiti awam di Malaysia itu mendakwa, gejala-gejala BPD yang dialami­nya seperti menangis ketika ku­liah dan di dalam bilik tanpa sebab telah menjejaskan aktiviti harian sehingga sukar untuk belajar.

Dalam satu hantaran lain, seorang isteri menjelaskan tingkah laku suaminya berubah apabila menghidap BPD setelah mempunyai tiga orang anak.

Lelaki itu dikatakan sentiasa berasa khuatir apabila ditinggalkan wanita berkenaan berseorangan selain terlalu bergantung kepada isteri dan mengabaikan perhubungan dengan orang lain termasuk meninggalkan minat sendiri.

Dalam satu kajian bertajuk Borderline Personality Disorder terbitan Oktober 2022, Jennifer Chapman, Radia T. Jamil dan Carl Fleisher berkata, angka pesakit BPD adalah 1.6 peratus dalam populasi umum dan 20 peratus dalam populasi pesakit psikiatri di dunia.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhid­matan Sumber Manusia, Universiti ­Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, BPD mampu dihidapi orang ramai pelbagai peringkat usia sehingga menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.

“Bebanan emosi dialami pesakit BPD seperti tekanan, kemurungan dan kebimbangan yang mengganggu fungsi diri akan menyekat fizikal mereka sehingga mengalami gangguan tidur, selera makan, anti sosial dan pengasingan diri daripada orang lain,” katanya.

Menurutnya, antara gejala BPD ialah perubahan emosi secara mendadak terhadap diri sendiri dan orang lain. Emosi mereka boleh jadi tidak rasional seperti kemarahan, ketakutan, kecemasan, kebencian dan ke­sedihan yang tidak terkawal.

“Perasaan takut ditinggalkan sangat umum dialami penghidap BPD. Pesakit BPD sukar untuk mempertahankan hubungan persahabatan, pernikahan dan anggota keluarga. Mereka juga sering melakukan tindakan impulsif (tergesa-gesa mengikut hati) dan berbahaya seperti me­nyakiti diri sendiri.

Jelasnya, penghidap BPD akan mengalami kemurungan kerana sering merasa sedih, tidak terpenuhi dan ‘kosong’ selain ada kalanya mereka paranoid, khua­tir terhadap pemikiran orang lain dan risau orang lain tidak me­nyukai dirinya.

“Seseorang yang pernah mengalami trauma, gangguan dan penderaan seksual berisiko tinggi menghidap BPD. Lebih membimbangkan apabila BPD diturunkan melalui faktor genetik antara ahli keluarga.

“Pada pesakit BPD, bahagian otak yang mengawal emosi dan perilaku mereka tidak berhubung dengan baik. Selain itu, penurunan fungsi dari zat-zat kimia pada otak seperti serotonin (berfungsi mengendalikan emosi) juga dikaitkan dengan BPD.

Tambah Siti Fatimah, seorang yang mengalami BPD perlu mendapatkan rawatan dan paling penting terapi psikologi atau Tingkah Laku Dialektik (DBT) yang mengajar mereka cara kawal emosi, me­ngendalikan stress serta perhubungan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI