JASIN – Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemukan lemas selepas keluar mandi-manda bersama abangnya di kolam renang di sebuah inap desa milik keluarga mereka di Kampung Pulau, Merlimau di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.56 pagi itu, mangsa, Auni Falisha Muhammad Firdaus, 3, ditemui tertiarap di dalam kolam renang berkenaan oleh rakan ibunya.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa mengikuti abangnya berusia lima tahun berjalan kaki ke kolam renang yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka.
“Dua beradik ini telah keluar pergi ke kolam renang tanpa pengetahun ibu bapa dan kejadian hanya disedari keluarga apabila si abang pulang ke rumah dalam keadaan pakaiannya basah.
“Apabila ditanya mengenai mangsa, si abang memberitahu adiknya berada di dalam kolam itu seorang diri dan ibu bapa mangsa terus menghubungi rakan yang berada di lokasi untuk memeriksa keadaan anaknya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, ketika kejadian tiada pengunjung lain yang menggunakan kolam renang tersebut dan mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam kolam serta tidak sedarkan diri.
“Mayat kanak-kanak itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan hasil bedah siasat dilakukan mendapati punca kematian disebabkan lemas.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE