PETALING JAYA – Just Capella Sdn. Bhd. (Just Capella) telah berjaya menjadi pemilik lesen terbaharu untuk Miss Universe Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Westin Chew berkata, melalui pemilikan lesen tersebut, syarikat kini membuka peluang pencarian baharu daripada wanita berkelayakan dan berkebolehan untuk mewakili negara ke peringkat seterusnya.
Miss Universe Malaysia adalah pertandingan ratu cantik yang dilaksanakan secara tahunan untuk memilih wakil dari negara ini untuk digandingkan bersama dengan wakil-wakil dari negara lain untuk bertanding dalam pertandingan ratu cantik nombor satu dunia.
Tahun lalu, seorang pengacara, Lesley Cheam telah dinobatkan sebagai Pemenang Miss Universe Malaysia untuk mewakili negara ke pertandingan Miss Universe di New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat manakala pereka fesyen kelahiran Amerika Syarikat, R’Bonney Gabriel, 28 telah dinobatkan sebagai juara Miss Universe.
“The Miss Universe Malaysia dapat membantu membawa jenama ke tahap yang lebih tinggi secara kualitatif, melalui penyertaan wanita memiliki kemahiran, kreativiti dan berinovasi untuk menyertai pertandingan ratu cantik yang berprestij itu.
“Kami akan memperkenalkan beberapa proses baharu melalui pelbagai aktiviti dan penjurian bagi memastikan integriti, ketelusan, kejujuran dan keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena pelancaran Miss Universe Malaysia 2023 di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Miss Universe 2022, Gabriel bersama pemenang tempat kedua, Andreina Martinez Gounier dan finalis tempat ke lima pertandingan tersebut iaitu Gabriela Dos Santos.
Chew menjelaskan, Miss Universe Malaysia adalah platform terbaik yang menyediakan peluang kepada wanita untuk mengubah diri kearah personaliti yang lebih positif dan lebih profesional bagi membolehkan mereka berbakti menjadi pemimpin yang berinspirasi tinggi kepada komuniti dan peminat.
“Pertandingan ini juga akan membolehkan mereka berdikari dan bersinar untuk selamanya. Kami berkeyakinan bahawa pertandingan Ratu Cantik bukan sekadar pertandingan berkaitan kecantikan tetapi mengenai inisiatif untuk membimbing wanita memberi impak positif kepada komuniti,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE