fbpx

IEIC UMK tempat uji kualiti produk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IEIC mempunyai ramai tenaga pakar serta peralatan terkini bagi menganalisis kualiti setiap produk.

SEIRING dengan moto universiti, Keusahawanan Teras Kami, Pusat Inkubator Inovasi dan Usahawan (IEIC) yang ditubuhkan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semakin dikenali namanya di Pantai Timur.

IEIC dibangunkan dan diuruskan oleh salah sebuah pusat kecemerlangan iaitu Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA).

Pengarah IFSSA, UMK, Dr. Maryana Mohamad Nor berkata, pendekatan pihaknya mempelbagaikan usaha memacu kecemerlangan universiti sentiasa mendapat sokongan positif.

Katanya, sokongan turut diterima daripada pengurusan tertinggi yang diterajui Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Razli Che Razak.

“Penubuhan IEIC ini bagi menarik perhatian industri ke dalam kampus. Ia seiring dengan teras UMK merangkumi bidang sains dan teknologi.

“Pada masa ini, kepentingan mutu dan keselamatan sesuatu produk dalam pasaran semakin dititikberatkan oleh pengguna di Malaysia.

“Selain itu, pengesahan kualiti produk khususnya ubat-ubatan suplemen dan kosmetik yang dijual di farmasi diwajibkan melalui Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956,” katanya.

Kewujudan produk yang mengandungi bahan beracun di dalam pasaran telah memberi kesedaran kepada pengguna untuk membuat semakan terlebih dahulu sebelum membelinya.

Disebabkan itu, permintaan terhadap perkhidmatan analisis berkaitan kualiti produk atau sampel kajian semakin meningkat di negara ini.

Permintaan tersebut tertumpu kepada penyelidikan dan pembangunan bagi menjamin kualiti produk yang digunakan oleh pengguna.

DR. MARYANA (kanan) merupakan tulang belakang kepada IEIC, UMK.

Menurut Dr. Maryana, kawasan Pantai Timur masih kekurangan pusat ujian makmal sehenti yang dapat memberikan perkhidmatan analisis kepada pihak memerlukannya.

Sehubungan itu, IEIC berfungsi sebagai pusat ujian makmal sehenti yang menyediakan perkhidmatan analisis produk.

Antaranya, pembangunan produk makanan, pengujian jaminan makanan dan halal, perundingan, analisis herba dan pengujian kualiti, analisis kosmetik dan pengujian produk, analisis kimia lanjutan serta pengujian mineral lanjutan (unsur nadir bumi).

Tambahnya, penubuhan IEIC pada tahun lalu dijangka mampu memberi impak besar kepada universiti dan usahawan di sekitar Pantai Timur dalam tempoh sedekad.

Katanya, IEIC bakal menjadi inkubator perintis di kawasan Pantai Timur yang memfokuskan kepada pertumbuhan dan peningkatan tekno-usahawan.

Hal ini kerana masyarakat di sebelah Pantai Timur terkenal dengan pelbagai tradisi unik seperti makanan.

Pun begitu, kebanyakan produk makanan di Pantai Timur masih tidak dapat memasuki pasaran nasional kerana ketiadaan sijil pengesahan kualiti seperti status halal.

“Menerusi integrasi antara teknologi dengan makanan tradisi, kita dapat memasarkan pelbagai produk ke seluruh dunia.

“Para tekno-usahawan juga berpeluang untuk melibatkan diri dalam penyelidikan sambil membangunkan produk mereka menerusi inkubator ini.

“Pendedahan mengenai kepentingan penyelidikan dan analisis kualiti dalam pembangunan sesuatu produk akan memastikan kelahiran lebih banyak tekno-usahawan berjaya dari Pantai Timur,” katanya.

Dia menambah, perkhidmatan yang disediakan IEIC mampu menarik perhatian usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Pantai Timur.

“IEIC sebagai pusat inkubator akan menyokong ekosistem penyelidikan dan inovasi negara kita sebagaimana kejayaan Taman Teknologi Malaysia (TPM),” katanya.

Dr. Maryana memberitahu, penubuhan IEIC juga akan menyokong program akademik di UMK dengan membantu melahirkan pelajar berbakat serta berkemahiran tinggi.

Jelasnya, para pelajar akan didedahkan dengan peralatan berteknologi tinggi yang digunakan dalam perkhidmatan analisis kualiti produk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN