PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia diberi amaran agar menghentikan apa jua perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru hara malah tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau memandang serius isu tular melibatkan perarakan replika bersenjata tajam yang berlangsung dalam satu perhimpunan anjuran sebuah parti politik di Setiu, Terengganu 17 Februari lalu.
“Perarakan replika bersenjata yang tular di media sosial ini telah menimbulkan suatu kegusaran awam kepada masyarakat apatah lagi suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat semakin memuncak.
“Umum mengetahui bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (kaum, agama dan institusi diRaja) yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
“Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sehubungan itu, sudah tentu apa jua tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa-apa simbol berupa senjata atau ‘ketenteraan’ amatlah tidak wajar dan tentunya akan mengundang keresahan awam.
“Insiden ini kemudian disiar dalam bentuk ‘klip video’ dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan. Ini mengundang pertanyaan adakah perarakan ini bermaksud menyuntik semangat perang?
“Saya ingin memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan apa jua perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru hara kepada rakyat dan negara,” tegas beliau.
Tambah Saifuddin, Malaysia sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan namun ianya sama sekali tidak boleh melanggar garis yang menggugat kerukunan negara.
Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan, polis Terengganu bakal mengambil tindakan terhadap sekumpulan Pemuda Pas Terengganu yang melakukan perarakan membawa replika senjata tajam di sebuah resort di Setiu baru-baru ini.
Siasatan awal PDRM mendapati perarakan tersebut merupakan pertandingan mereka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam. – KOSMO! ONLINE