fbpx

Gadis pandu treler lebih 4,000 kilometer bantu mangsa gempa di Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gulfem Zengin memandu trak dari Perancis bagi membawa bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Kahramanmaras, Turkiye. - AA

ANKARA – Seorang wanita Perancis berusia 24 tahun telah memandu treler miliknya ke Turkiye untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa gempa bumi, lapor portal berita TRT World semalam.

Selepas mendengar berita tentang dua gempa bumi berlaku di selatan negara itu, Gulfem Zengin iaitu seorang warga Perancis yang dilahirkan dalam keluarga imigran Turkiye, memulakan perjalanan dari bandar Perancis, Lyon ke Kahramanmaras.

“Saya berasa sangat sedih apabila saya melihat berita mengenai gempa bumi.

“Semua rakan dan ahli keluarga saya menangis berikutan gempa bumi itu,” kata Zengin di hadapan runtuhan di Kahramanmaras, Turkiye.

Wanita berkenaan berkata, pendatang-pendatang Turkiye menghubunginya untuk menghantar bantuan kemanusiaan sambil menambah bahawa dia pergi berseorangan dan menempuh perjalanan yang sukar untuk menemui mangsa gempa-mangsa bumi tersebut.

“Ia sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Saya bersendirian. Ia adalah mustahil bagi saya, tetapi saya fikir ini adalah mengenai membantu mangsa. Ini adalah bantuan yang boleh kita lakukan. Itulah sebabnya saya mengetepikan perasaan takut,” ujarnya.

Dia memandu sekitar 4,300 kilometer dalam masa empat hari dan tiba di Kahramanmaras pada Sabtu lalu. Zengin menyampaikan bantuannya dengan penyelarasan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye.

“Saya tiba di Kahramanmaras dengan memandu laju dengan sedikit tidur. Keluarga saya bangga dengan saya. Saya menghantar video kepada keluarga saya di sepanjang jalan untuk memberitahu mereka bahawa saya baik-baik saja,” kata Zengin.

Dia memandu treler tersebut dari Lyon ke Kapikule iaitu titik lintasan sempadan di wilayah Edirne di sempadan Turkiye dan Bulgaria.

Dengan membawa makanan, pakaian, ubat-ubatan dan makanan haiwan peliharaan yang dikumpulkan daripada warga Perancis yang dilahirkan oleh generasi imigran Turkiye, dia tiba di Kapikule selepas perjalanan melibatkan masa selama dua hari. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI