SEJAK pertama kali melihat kumpulan pramugari berjalan di hadapannya ketika di lapangan terbang, gadis itu terus tertarik dengan penampilan mereka dan memilih kerjaya tersebut sebagai cita-citanya.
Dengan peluang yang ada menerusi kursus persediaan di Pusat Latihan Teknikal Meatech (Meatech), Nor Elieya Erdiena Mohd. Fayruz, 21, mengorak langkah dengan menyambung pengajian dalam bidang kru penerbangan.
Menurutnya, minat terhadap kerjaya pramugari bukan sahaja disebabkan penampilan, malah skop bidang kerja yang menarik dan menyeronokkan.
“Saya mula meminati dunia pramugari sejak remaja, selepas melihat mereka di lapangan terbang.
“Selepas itu, saya mula mencari informasi mengenai kerjaya ini. Kemudian, saya mengetahui Meatech menawarkan kursus persediaan untuk kerjaya berkenaan.
“Kerjaya sebagai pramugari atau kru kabin merupakan satu bidang yang menarik. Terutamanya dari segi tugas dan pendedahan yang boleh diperoleh bagi membentuk kemahiran komunikasi serta mengekalkan profesionalisme dalam apa jua keadaan,” katanya.
Menariknya, anak kedua daripada enam beradik itu sudah menjalani praktikal sebagai anak kapal bersama semua syarikat penerbangan tambang murah tempatan.
Nor Elieya Erdiena berkata, bidang pramugari juga memberi peluang buat dirinya untuk melihat negeri orang setiap kali ‘terbang’.
Berkongsi pengalaman menjalani kursus persediaan sebagai kru kabin, Nor Elieya Erdiena memberitahu, ia mempunyai cabaran tersendiri.
Kongsi gadis berasal dari Johor Bahru, Johor itu, pada peringkat awal latihan, dia turut berdepan fasa mencabar kerana perlu menguasai bahasa Inggeris dan berhadapan dengan peperiksaan keselamatan, bantuan kecemasan serta lain-lain.
“Perkara ini perlu dikuasai oleh setiap anak kapal. Semasa penerbangan, kru kabin merupakan barisan pertama yang akan membantu penumpang ketika saat-saat genting.
“Selain itu, penampilan diri perlu dijaga kerana pramugari merupakan imej kepada syarikat penerbangan.
“Penguasaan bahasa Inggeris juga penting, perkara ini banyak dibantu menerusi pengajian di Meatech,” kongsinya.
Biarpun ada pihak yang menganggap kerja kru kabin remeh dan tiada masa depan, namun Nor Elieya Erdiena berpendapat kerjaya itu mempunyai prestij tersendiri.
Jelasnya, tidak semua orang boleh menjadi kru kabin, malah setiap syarikat penerbangan juga mempunyai kriteria tersendiri dalam mencari anak kapal.
“Bekerja di awan biru bukan seperti pelayan dan penjual makanan. Banyak perkara yang kami perlu lakukan sepanjang penerbangan.
“Kru kabin bukan sahaja menjanjikan pendapatan yang baik, malah perkembangan kerjaya juga amat memberangsangkan jika kita serius dan memberi prestasi terbaik,” ujarnya.
Kongsinya, apabila memilih kerjaya sebagai kru kabin, minat dan usaha perlu seiring kerana kedua-dua faktor tersebut merupakan kunci utama untuk berjaya.
“Saya sebelum ini pernah menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan awam. Pada saya, apa juga bidang, perlu ada minat dan usaha.
“Minat terhadap kerjaya ini penting dan perlu ada usaha mempersiapkan diri dengan ilmu serta keperluan menjadi kru kabin.
“Selain itu, persediaan dari segi mental sangat penting.
“Ini kerana, dalam bidang ini, kita akan berhadapan dengan penumpang yang bermacam ragam dan situasi tidak dijangka ketika di awan biru,” tuturnya.