LONDON – Pemandu Australia, Oscar Piastri menegaskan kontroversi membabitkan dirinya bersama Alpine dan McLaren tidak akan menjejaskan penampilan sulungnya dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
Pada musim panas lalu, Piastri yang merupakan pemandu simpanan Alpine bertindak menolak tawaran pasukan itu untuk menggantikan tempat Fernando Alonso sebelum memilih menyertai McLaren.
Ketua Pasukan Alpine, Otmar Szafnauer mempersoalkan kesetiaan Piastri dan mengancam untuk menyaman pelumba itu bagi mendapatkan semula dana yang dibelanjakan dalam karier junior Formula 3 dan Formula 2.
“Saya tidak fikir ia menambah tekanan terutama kontroversi sebelum ini.
“Saya fikir kehadiran saya dalam perlumbaan F1 berdasarkan keputusan yang baik dalam kategori junior.
“Walaupun perpindahan itu mencipta banyak perhatian, ia tiada kaitan dengan pemanduan saya dalam F1.
“Saya rasa saya akan mengharungi plerlumbaan sulung saya dengan agak selesa. Saya rasa apabila semua orang tahu akan cerita sebenar, ia tidak membebankan fikiran saya.
“Saya hanya ingin mahu lakukan terbaik musim ini dan saya tidak sabar untuk kembali ke landasan yang betul.
“Saya akan memberi tumpuan sepenuhnya bersama McLaren,” kata Piastri. – AGENSI