LONDON – Gandingan Darwin Nunez dan Cody Gakpo mula menghadirkan keceriaan buat Liverpool ketika kedua-duanya muncul watak penting ketika menewaskan Newcastle United 2-0 di St. James Park, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila pengendalinya, Jurgen Klopp sekali lagi dihimpit keadaan memeningkan terutamanya selepas Nunez mengalami kecederaan di bahagian bahu.
Ketika ini, Klopp pastinya harus merangka taktikal baharu memandangkan kecergasan Nunez masih lagi samar untuk kekal jadi taruhan buat pasukan dalam aksi Liga Juara-Juara, menentang Real Madrid di Anfield, awal pagi Rabu ini.
“Perkara negatif pastinya tentang Darwin yang terpaksa dibawa keluar. Kami akan lihat tahap kecederaannya dan saya harap ia tidaklah terlalu serius.
“Ketika ini dia perlu menjalani penilaian dan buat masa sekarang kami belum lagi tahu keadaannya. Buat masa sekarang ia dilihat cukup menyakitkan, namun kami harap ia tidak lebih daripada itu,” katanya.
Kemenangan kedua dalam tempoh seminggu yang dicatatkan The Reds kembali menghidupkan harapan untuk cuba memburu kelompok empat teratas musim ini dan cuba kekal bersaing di Liga Juara-Juara musim depan.
Pada perlawanan di St. James Park itu, tuan rumah terpaksa bermain 10 orang sepanjang kira-kira 70 minit selepas penjaga golnya, Nick Pope dilayangkan kad merah kerana menggunakan tangan ketika cuba menghalang usaha Mohamed Salah di luar kotak penalti.
“Ketika menentang lawan yang bermain 10 orang, kami gagal memberikan reaksi dengan lebih baik. Kamu boleh lihat mereka adalah pasukan yang memiliki karakter hebat, malah berikan apa saja yang mereka ada sepanjang perlawanan.
“Menjadi sesuatu yang melegakan apabila mendahului 2-0 walaupun kami sedikit kehilangan rentak. Saya harap kami mampu melakukannya dengan lebih baik dan pada asasnya, saya begitu gembira kerana mampu pastikan kemenangan,” jelasnya. – AGENSI