LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak menganggap jaringan ketiga pasukannya sebagai gol sendiri oleh penjaga gol Aston Villa, Emi Martinez sebaliknya memberikan pujian terhadap peranan dimainkan Jorginho untuk menghasilkan gol berkenaan.
Jaringan pada masa kecederaan babak kedua itu jelas menjadi detik penting buat The Gunners sebelum melengkapkan kemenangan 4-2 ke atas The Villans di Villa Park, kelmarin.
“Jorginho menghasilkan detik yang hebat. Bagi kami tidak (gol sendiri) kerana ia adalah jaringan Jorginho,” katanya.
Terdahulu, Aston Villa memperoleh gol pembukaan menerusi Ollie Witkins dan kembali disamakan oleh Bukayo Saka sebelum Philippe Coutinho meledak jaringan kedua buat tuan rumah.
Bagaimanapun, Oleksandr Zinchenko memastikan gol sulungnya bersama Arsenal dan kedudukkan 2-2 berlarutan sehingga minit ke-90 sebelum The Gunners menambah dua lagi gol hasil jaringan sendiri Martinez sebelum pemain gantian, Gabriel Martinelli melengkapkan gol keempat.
Kejayaan itu menamatkan kemarau kemenangan The Gunners selepas dipalit kekalahan kepada Everton dan Manchester City serta seri menentang Brentford dalam tiga perlawanan terakhir.
“Dia mengambil masa yang lama. Dia sering berlatih dan saya cukup gembira kerana dia sudah melalui detik sukar untuk mendapatkan gol pertama, namun segalanya sudah terbukti dia mampu bertindak balas dengan cukup baik,” kata Arteta merujuk jaringan Zinchenko.
Arsenal kini kembali merampas takhta Liga Perdana Inggeris dengan 54 mata, berkelebihan dua mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City yang dihimpit kecewa diikat 1-1 oleh Nottingham Forest. – AGENSI