KLANG – Seorang ibu tunggal terpaksa bergantung hidup dengan bantuan yang diterima daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM750 bagi membesarkan tiga anaknya berusia tujuh hingga 17 tahun.
Keadaan itu disebabkan Halimah Saidin, 39, tidak lagi mampu bekerja sebagai pemandu bas sekolah selepas wanita itu pengsan lima tahun lalu di rumahnya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan doktor kemudiannya mendapati, dia mengalami pendarahan otak dan kini terpaksa menggunakan kerusi roda sepenuhnya untuk bergerak.
“Ini menyebabkan saya tidak boleh bergerak cergas dan berhenti sebagai pemandu bas sekolah. Pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan hilang.
“Saya kemudiannya cuba menampung kehidupan bersama anak-anak dengan membuat sambal bilis Pahang dan mampu meraih purata RM500 sebulan,” katanya ketika dilawati aktivis Sosial, Muhammad Alif Syamrin Abdullah di rumahnya, baru-baru ini.
Halimah memberitahu, dia menjadi ibu tunggal dengan menyara tiga anaknya selepas bercerai dengan suaminya.
Bercerita lanjut, dia terpaksa berhenti membuat sambal tersebut selepas penglihatannya semakin kabur akibat komplikasi diabetis dua tahun lalu.
“Susulan itu, anak sulung ‘terpaksa’ bercuti sekolah selama setahun bagi menjaga saya. Dia akan kembali sesi persekolahan baru tahun ini untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Hasil pemeriksaan terbaharu, doktor menasihatkan saya supaya mengambil ubat tambahan bernilai RM400 ekoran bimbang sekiranya berlaku kanser di bahagian otak,” ujarnya.
Jelas wanita itu, perbelanjaan kehidupan mereka kini adalah menerusi bantuan bulanan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah keseluruhan RM750 bagi sewa rumah dan sara hidup.
“Saya juga perlu membuat pembedahan bagi membetulkan saluran makanan di bahagian leher dalam masa terdekat yang belum diketahui kosnya.
“Anak bongsu pula mempunyai masalah injap jantung dan perlu dibedah apabila berusia 16 tahun. Apabila memikirkan semua ini sememangnya buntu,” luahnya.
Sehubungan itu, bagi yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank bernombor 1622 1854 2279 atau menghubungi Halimah di talian 011-14464458.