KOTA BHARU – Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu menangkap seekor biawak seberat 10 kilogram yang terperangkap di dalam lubang berhampiran kolam ikan terbiar di Jalan Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Jurucakap APM Kota Bharu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.43 pagi.
Menurutnya, kejadian itu disedari seorang tukang kebun ketika membersihkan kawasan sebuah rumah sebelum melihat seekor biawak yang terperangkap di dalam lubang berdekatan kolam tersebut.
“Menyedari reptilia sepanjang kira-kira dua meter berada di dalam lubang, lelaki itu kemudiannya memaklumkan kepada pemilik rumah supaya menghubungi APM.
“Operasi menangkap biawak tersebut mengambil masa 30 minit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, biawak tersebut dibawa pulang ke Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Kota Bharu. – KOSMO! ONLINE