fbpx

Sindiket didalangi pegawai Imigresen kaut RM80,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga asing yang ditahan dan pasport yang dirampas oleh Jabatan Imigresen dalam Ops Kenyalang, kelmarin.

PETALING JAYA – Lima individu termasuk seorang ‘ketua’ dan empat pegawai Imigresen telah ditahan kerana terlibat melakukan sindiket penyeludupan migran yang mengaut untung RM80,000 sebulan, dalam satu ‘Ops Kenyalang’ diadakan di sekitar bandar Bintulu, Sarawak, kelmarin.

Dalam operasi tersebut, sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Putrajaya dan pegawai-pegawai Operasi Jabatan Imigresen Sarawak telah melakukan pemeriksaan terhadap dua buah bas yang disyaki membawa warga asing.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan mengatur pergerakan masuk warga asing yang telah disenaraihitamkan dengan dibantu oleh pegawai Imigresen.

“Sindiket akan menguruskan seramai 30 hingga 40 orang bagi setiap kali kemasukan. Pegawai Imigresen akan menurunkan cap keselamatan ke atas pasport warga asing berkenaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat sampai ke destinasinya.

“Warga asing yang telah mendapat cap keselamatan ini seterusnya akan di bawa ke rumah-rumah transit yang telah ditetapkan oleh sindiket sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan juga Lapangan Terbang Bintulu untuk meneruskan perjalanan ke Semenanjung melalui laluan domestik.

“Berdasarkan maklumat awal, sindiket ini telah beroperasi hampir lapan bulan yang lalu. Warga asing yang hendak masuk ke Malaysia dikenakan bayaran sekitar RM5,000 ke RM6,000 seorang dan sindiket ini dipercayai telah mengaut keuntungan sekitar RM80,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam operasi yang sama, seorang lelaki warganegara Indonesia yang menjadi ‘dalang’ kepada sindiket terbabit akhirnya diberkas di sebuah premis kediaman di bandar Bintulu pada pukul 9.45 malam.

Ujar, Khairul Dzaimee, lelaki tersebut yang berusia 38 tahun telah ditahan ketika menguruskan warga asing ini di rumah penampungan.

“Pasukan operasi telah berjaya menahan seramai 63 orang warga Indonesia yang terdiri daripada 37 lelaki dan 26 perempuan berusia di antara 22 hingga 52 tahun manakala seramai 30 orang daripadanya telah ditahan di rumah transit berkenaan

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM25,000 dan 3 juta rupiah. Mereka ini merupakan orang yang telah disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan daripada memasuki Malaysia. Kesemua mereka yang ditahan ini telah mempunyai tiket penerbangan ke Kuala Lumpur.

“Kesemua warganegara asing ini ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah manakala empat pegawai Imigresen dan ketua sindiket pula disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” ujarnya.

Tambah Khairul Dzaimee, pihaknya akan terus memburu sindiket yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar kesalahan di bawah Akta yang berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI