PETALING JAYA – Selepas ‘hilang’ dalam laman sosial, wanita yang didakwa mengganggu rumah tangga Hafidz Roshdi, Athira Yuhada akhirnya tampil memohon maaf kepada isteri pelakon itu dan dua anaknya.
Katanya, dia mengakui kebodohan diri yang mengheretnya terjerumus ke kancah hubungan terlarang dengan lelaki berstatus suami orang, namun dedahnya, semua itu berpunca kerana simpati dengan keadaan kesihatan mental Hafidz.
“Saya dengan hati terbuka ingin memohon maaf kepada Shuhada, Humairah dan Umar. Apa yang saya lakukan ini sangat mementingkan diri sendiri.
“Selepas Hafidz cuba menghubungi saya beberapa kali sejak sembilan tahun lalu, saya sedaya-upaya cuba mengelak.
“Namun, akhirnya perkara ini berlaku kerana mengetahui keadaan kesihatan mentalnya yang membuatkan saya simpati dan ingin menyokong apa yang dilaluinya.
“Saya akui saya insan yang lemah dan bodoh apabila hanyut dalam situasi (gangguan rumah tangga) ini,” tulisnya menerusi Insta Story, malam tadi.
Bagaimanapun, wanita yang difahamkan berusia 29 tahun itu mendedahkan hubungannya dengan hero Tundukkan Playboy Itu sudah lama berakhir.
“Saya sudah lama tidak berhubung dengan dia dan tidak akan berlaku lagi. Saya dengan rendah diri ingin sekali lagi memohon maaf kepada Shuhada, Humairah dan Umar,” katanya.
Sebelum ini, identiti Athira terbongkar menerusi satu hantaran dalam Instagram yang memaparkan tangkap layar dia berbalas mesej mesra bersama Hafidz menerusi aplikasi WhatsApp.
Pembongkaran tersebut menguatkan dakwaan rumah tangga aktor itu dan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri yang dibina hampir tujuh tahun kini bergolak dengan kehadiran orang ketiga.
Hantaran yang tular itu turut memaparkan gambar wanita yang didakwa sebagai ‘penyondol’ atau pengacau rumah tangga orang.
Menerusi mesej tersebut, wanita berkenaan mengirimkan gambar kepada individu yang nombor telefonnya disimpan dengan nama ‘Hafidz’.
Sementara itu, Hafidz ,asih belum menjelaskan mengenai kontroversi yang tercetus, selain tidak menjawab panggilan atau mesej pihak media.
Pun begitu, dia sekali lagi menunjukkan seolah-olah tidak terkesan dengan kecaman ramai apabila hanya berkongsi reviu filem yang baru ditonton di pawagam, Ant-Man and the Wasp: Quantumania.
Bahkan menerusi Insta Story, pelakon asal Shah Alam, Selangor itu memuat naik petikan ‘jangan pernah berhenti berdoa walau kita banyak dosa’.
Terdahulu, perkahwinan bekas peserta program realiti, Hero Remaja 2011/2012 itu dengan Shuhada pada 2016 dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 3. – KOSMO! ONLINE