WANITA perlu mempunyai duit simpanan sendiri. Itu antara prinsip yang dipegang Sabrina Hanim Habib Ahmad yang menghiasi kolum Pesona Ahad minggu ini.
Gadis berusia 23 tahun itu menyifatkan kaum wanita tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan lelaki demi menikmati hidup selesa dan mewah.
Sebaliknya, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mahu golongan wanita bekerja keras dan belajar hidup berdikari supaya tidak mudah jatuh sekiranya berlaku sesuatu perkara tidak diingini pada masa hadapan.
Pada masa sama, gadis yang mesra disapa Sabrina ini memasang impian bergelar usahawan berjaya suatu hari nanti sekali gus mahu membantu kaum sama untuk memperkasakan taraf ekonomi mereka.
Kepada Kosmo! Ahad, Sabrina berkongsi serba sedikit mengenai dirinya termasuk kerjaya sebagai model sambilan untuk mengumpul simpanan sendiri.
Kosmo! Ahad: Siapa Sabrina? Ceritakan tentang diri anda
Sabrina: Saya merupakan graduan Diploma Sains Keusahawanan Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam, Selangor. Selepas tamat belajar, saya mengusahakan perniagaan makanan dengan membuka kantin di Universiti Malaya dan perkhidmatan katering. Saya juga meminati bidang modelling sejak zaman sekolah, tetapi tidak pernah mencuba. Walau bagaimanapun, pada tahun 2020, saya menyertai Rancangan Gadis Manis Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Bagaimana Sabrina terjun bidang ini?
Pada mulanya, selepas tamat belajar saya dibantu bapa sebelum perlahan-lahan belajar selok-belok menguruskan kantin sejak tahun 2018. Sebelum ini perniagaan tersebut diusahakan oleh bapa saya.
Siapa idola dalam dunia perniagaan?
Tentunya bapa saya kerana beliau tidak pernah putus asa dalam berniaga sehingga berjaya seperti sekarang.
Adakah wanita perlu membina kekayaan sendiri tanpa bantuan lelaki atau suami?
Ya, wanita perlu ada simpanan sendiri dan belajar berdikari supaya boleh hidup di luar sana tanpa pertolongan lelaki jika ada sesuatu masalah timbul di kemudian hari.
Definisi tentang kecantikan?
Ia adalah sifat manusia secara fizikal, tetapi boleh dikaitkan juga dengan keyakinan diri seperti mempunyai kepercayaan tinggi terhadap diri sendiri
Apa pandangan Sabrina mengenai ramai lelaki takut kepada wanita cantik?
Lelaki tidak perlu takut untuk mendekati wanita yang cantik, mereka juga berhak untuk berkawan dengan sesiapa sahaja dengan ikhlas.
Ciri-ciri jejaka idaman?
Pastinya seorang lelaki yang memahami, berakhlak, dan bertanggungjawab. Tiada yang sempurna, jadi kita lelaki dan wanita akan melengkapi antara satu sama lain.
Lelaki akan nampak lebih kacak apabila…?
Matang dan tahu menghormati orang. -KOSMO! ONLINE